Kenapa gigi bongsu selalu sakit
Setelah anda melepasi umur 21 tahun, mesti ada perasan suatu benda dalam mulut yang selalu membuat anda tidak selesa. Gigi bongsu yang baru nak tumbuh mesti akan tumbuh senget la, bengkak la dan kadang- kadang sakit yang teramat seksa, sampai rasa nak ambil pliers di rumah dan cabut sendiri.
Kenapa gigi boleh sakit macam tu? Berlubang ke?
Sebenarnya, gigi bongsu adalah gigi geraham yang memang ada dalam mulut semua orang. Apa yang berbeza adalah samada gigi itu tumbuh dengan elok atau tidak.
Masalah keradangan gigi bongsu bermula pada umur 18–25 tahun kerana masa itu la gigi bongsu akan tumbuh. Jika rahang anda terlalu kecil dan tidak cukup ruang, gigi itu akan tumbuh senget. Dan akan ada bermacam-macam posisi yang boleh terjadi.
Kebanyakan dari kita mempunyai gigi bongsu yang tumbuh dengan elok, sihat walafiat dan tidak menganggu kehidupan siapa-siapa. Ia juga akan tumbuh bukan sahaja di rahang bawah, tetapi di rahang atas juga. Tapi yang selalu memberikan masalah adalah gigi di bawah.
DIambil dari ahmedabaddentalcare.com
Apabila gigi tumbuh sedemikian rupa, banyak masalah boleh berlaku. Disebabkan posisi gigi tersebut, makanan akan lebih senang sangkut di celah-celah gusi dan gigi. Makanan ini akan menyebabkan bakteria membiak di mulut anda dan boleh mengakibatkan pericoronitis.
Apa benda pericoronitis tu? Macam sakit je
Pericoronitis bermaksud keradangan gusi di sekeliling gigi bongsu dan simptom-simptom adalah seperti berikut.
- Bengkak
- Gusi berwarna merah
- Susah untuk makan
- Ketidakselesaan atau sakit, bergantung kepada tahap toleransi anda.
Jika anda mengalami atau pernah mengalami simptom seperti yang di atas, besar kemungkinan rawatan yang diperlukan adalah cabutan gigi bongsu. Bergantung kepada posisi gigi tersebut, gigi boleh dicabut dengan cara biasa atau dengan pembedahan kecil.
Bahagian yang merah tu akan memerangkap makanan. Gambar diambil dari jpmsonline.com
Kena buat operation ke? Macam susah je nak buat. Sakit tak?
Suntikan anestetik akan diberi sebelum cabutan. Tiap-tiap doktor gigi akan ada cara yang tersendiri untuk mencabut gigi bongsu melalui minor oral surgery (MOS). Tapi, proses yang digunakan adalah lebih kurang seperti berikut.
- Setelah pemeriksaan di dalam mulut, gambar X-ray akan diambil untuk menentukan posisi gigi dengan urat inferior dental. Urat ini sangat penting dan boleh tercedera jika terlalu dekat dengan gigi bongsu anda.
Ini contoh X-ray yang akan diambil.
- Suntikan bius akan diberi dan separuh dari rahang bawah anda akan kebas. Rasa kebas itu akan hilang selepas 2 jam. Jadi jangan cuba nak makan atau minum kalau taknak baju kotor kena makanan meleleh.
- Satu potongan (incision) akan dibuat di gusi yang menutupi gigi itu.
- Sebahagian dari tulang alveolar (tulang di bawah gusi) akan dipotong untuk melonggarkan gigi itu.
- Jika perlu, gigi akan dibelah untuk memudahkan cabutan.
- Selepas gigi dikeluarkan, gusi akan dijahit semula dan ubat akan diberi untuk mengawal bengkak yang akan berlaku.
Bagaimana nak jaga lepas pembedahan?
Selepas pembedahan ini, bengkak, pendarahan dan ketidakselesaan memang normal. Saya selalu menasihati pesakit saya untuk meletakkan ice-pack di bahagian muka yang terjejas untuk mengawal bengkak. Yang best, MC boleh dapat lepas buat pembedahan ni.
Tapi, jangan terburu-buru nak pergi cabut gigi bongsu pula. Sejak kebelakangan ini, kebanyakan doktor gigi tidak menyarankan cabutan gigi bongsu jika tiada simptom. Kalau penyakit pericoronitis boleh dikawal dengan ubat dan penjagaan kebersihan mulut yang elok, pembedahan tidak perlu dilakukan.
Doktor, saya dengar gigi geraham ni confirm akan sakit. Baik cabut je.
Sebenarnya kalau nak ikut statistik, gigi geraham memberi masalah hanya kepada 20% pesakit, kalau nak ikut satu kajian dari Canada (kajian Malaysia tak jumpa kat Google). Kalau gigi bongsu dah buat hal berulang kali, terpaksalah buat pembedahan untuk cabutan. Kalau tidak, biar saja.
Saya dengar orang cakap, kalau gigi bongsu ni senget, dia boleh tolak gigi depan. Lepas tu, gigi depan senget-senget.
Itu adalah mitos. Dulu ada pendapat saintifik yang mengatakan macam ini. Tapi mengikut beberapa kajian, terutamanya kajian yang dilakukan pada tahun 1998 ini, gigi bongsu tidak menjejaskan gigi depan.
Banyak lagi mitos yang perlu dihancurkan tentang gigi bongsu ni. Harap-harap, lepas anda membaca artikel ini, lagi banyak orang akan tahu tentang rawatan yang perlu diberi.